Tidak Faham

Aduh.Entri kali ini sangat sensitif.Saya berharap ketika menulis saya tidak tersasar atau salah.Dan segala yang silap dan salah dalam entri ini adalah berpunca dari kelemahan saya sendiri.

Saya keluar dengan seorang sahabat saya.Untuk pengetahuan anda, sahabat saya tidak menutup aurat, agak seksi.Tetapi  dia masih sahabat saya dan saya amat hormatkan dia sebagai sahabat.Tiada isu tentang itu.

Ketika sudah makan, tiba-tiba sahaja dia berkata, "Orang Islam wajib memakai purdah kan?Saya dengar hadis ini... dan begitu..." Untuk pengetahuan anda kawan saya seorang Islam.

Saya terkejut, setahu saya purdah tidak wajib dan juga tidak haram.Saya tidak bersetuju dengannya kerana setahu saya aurat wanita ialah selain muka dan tapak tangan. (Ini bukan bermakna saya ini seorang gadis yang menutup aurat dengan sempurna,mungkin ada lubang-lubang yang perlu dibaiki lagi)

Tetapi dia berkeras bahawa ada hadis yang dia baca mengatakan wajib, dan saya juga berkeras mengatakan tidak wajib.Akhirnya saya mengatakan, mungkin kita patut study balik apa yang kita faham.Dan akhirnya dia setuju.

Apabila persoalan begini datang, saya asyik terfikir tentang hukum-hukum yang lain.Saya cuma terfikir betapa banyak kita bertelingkah tentang soalan-soalan begini, contohnya warna telekung sembahyang samada putih atau warna lain, solat terawih lapan atau lebih.Dan banyak lagi sehingga kita lupa bahawa benda yang wajib dipertikaikan adalah menutup aurat atau tidak?Solat atau tidak?Persoalan ini membuatkan kita sesama Islam berpecah belah atas alasan yang kecil.

Saya menjadi takut, sebab saya bukanlah orang yang pandai ilmu agama dan kadang-kadang terpaksa menjawab kenapa saya melakukan sesuatu dan kenapa tidak boleh buat sesuatu.Tapi,mungkin ada hikmahnya, dengan ini saya akan lagi rajin menyemak dan belajar.

Yang paling penting, apabila melakukan sesuatu hendaklah ikhlas.Dan jangan sesekali memandang hina terhadap mereka yang tidak melakukan.Semoga kita semua mendapat petunjukNya.

Dan ini menyebabkan saya teringat kata-kata. "Kalau tidak ikhlas, baik tak payah buat langsung."Jika semua orang mengikut perkataan ini, maka ramai lah tidak bersedekah, solat , berbuat baik dan sebagainya kerana dibimbangi tidak ikhlas.Dan ianya menyebabkan saya terfikir, Apabila disoal Tuhan kelak kenapa kamu tidak buat baik dan sebagainya?Adakah jawapan kita takut tidak ikhlas itu relevan?Jadi,marilah sama-sama kita cuba yang terbaik.

Comments

Popular Posts