Umrah 2018 Bahagian 3 : Mekah
***Disclaimer****
Sebelum anda membaca tulisan saya mengenai pengalaman saya tentang umrah, saya ingin menyatakan tulisan saya ini ada ekslusif mengenai pengalaman saya.Saya berasa sangat susah untuk menulis kerana tak kiralah sedalam mana saya menulis ianya tidak sama dengan pengalaman yang saya alami.Dan bukan semua perkara boleh saya tulis di sini kerana bukan semuanya senang untuk diceritakan dan saya ni mungkin lupa on certain details. Jadi bacalah dengan hati yang terbuka dan ambil yang baik baik sahaja.
****************
Tanah Suci
Mekah bukanlah tempat yang menarik kalau nak dibandingkan dengan London, San Francisco, Perth, Jepun, Taiwan , Indonesia atau tempat yang saya pernah lawati sebelum ini.
Jika mahu dibandingkan dengan kehijauan, kekayaan budaya dan makanan lebih baik Malaysia.Sebelum saya ke sini saya banyak mendengar cerita betapa ramai yang pulang dari tanah suci ini ingin mengulangi lawatannya.
Malah Pakcik Din kawan baik emak dan abah berkata ,"Tak terbanding dengan apa yang kita ada rasanya.Tinggalkan dulu hal hal dunia , cucu atau apa-apa.Pergilah ke sana." Saat emak beralasan sibuk dengan cucunya.
Manusia memang sentiasa sibuk , harta dan anak anak sentiasa menyibukkan.
Manusia di tanah suci
Tanah suci Mekah bukanlah syurga yang menempatkan orang-orang suci sahaja.Di situ banyak saja orang yang menipu, mementingkan diri sendiri.
Tapi sebanyak mana pun keburukan manusia, masih banyak lagi yang bersyukur dan suka menolong. Ketika ada orang yang mengengsot ketika bertawaf kerana tak punya kaki, akan ada hamba Allah yang mengepungnya supaya tak ada manusia lain memijaknya.
Saat orang buta bertawaf berpandukan tongkatnya.Saya masih ingat lagi dia mengetuk tongkatnya di lantai tik tik tik.Akan ada beberapa hamba Allah yang tak dikenali akan memandunya.
Hari Jumaat, orang berebut-rebut untuk bersedekah apa sahaja.Ada yang berdiri di tepi jalan menawarka sehelai tissue berbau harum sambil menjerit "Halal...halal."
Saat melalui jalan ke masjid budak budak berkulit hitam menuang kopi di dalam cawan kertas sambil menjerit "Halal...halal."
Saat menunggu sebelum subuh, seorang wanita tua yang saya tahu tidaklah sekaya mana berdasarkan pakaiannya menuangkan kacang panggang kepada setiap orang yang duduk dalam saf. Saya boleh ingat hangat kacang itu ketika saya menadahkan satu tangan sebab dia takda bekas.
Tapi satu tangan saya tak cukup jadi kacang itu nyaris tumpah maka saya angkat lagi satu tangan tapi mak cik itu penuhkan kacang untuk kedua dua belah tangan saya. Saya makan sedikit malah letak bakinya dalam beg kecil saya.Saya habiskan semua kacang-kacang tersebut hari tu juga. Demi Allah, saya rasa itulah kacang yang paling sedap yang pernah rasa.
Subhanallah. Semoga ianya menjadi ingatan yang paling manis buat saya inshaaAllah.
Allah itu Maha Penyayang, segala jenis manusia boleh berada di Tanah suci itu dengan izinnya. Maka ambillah pengajaran sebanyak-banyaknya.
Sekarang apabila pulang ke sini, saya mengalami 'homesick' yang pelik merindui Mekah dan Madinah.Emak saya juga berpendapat yang sama,"padahal di sana bukanlah senang.Bersesak sesak di mana-mana bukanlah suatu perkara yang menyenangkan."
Pelik kan.Susah nak cakap - saya cuma boleh cakap kalau belum pergi , pergilah.
Seperti mutawif kami berkata lebih kurang begini,
"Mekah ini gersang, tidak ada apa-apa.Moga moga ketiadaan apa-apa ini yang mengisi hati kita membuat kita rindu akan tanah suci."
Sesak
Kaabah tu tak pernah ditinggal sendiri.Penuh, penuh dan penuh. Ada waktu yang lapang yang saya perasan seperti sebelum Subuh.
Mereka yang bertawaf dan mereka yang melekap di dinding Kaabah terutama di Hajarul Aswad.
Untuk pengetahuan anda - pusingan tawaf akan batal jika menyentuh Kaabah dan Hijr Ismail.Jika anda menyentuh Kaabah saat anda bertawaf maka anda perlu ingat di mana anda berhenti dan sambung balik untuk tawaf.Jadi ramai orang yang melekap di Kaabah itu bukanlah untuk bertawaf ya.Dulu saya ingat pegang Kaabah tu antara rukun tetapi tidak.
Jadi kenapa nak sentuh Kaabah?
Saya tidak tahu kenapa orang lain sentuh Kaabah tapi saya juga mengambil peluang memegang dan meletakkan dahi saya di Kaabah.
Sebab?
Itu kiblat yang selama ini kita wajib mengadap sebelum solat. Selama ni gambar Kaabah di sejadah di dinding dan tiba tiba saya berpeluang melihat di depan mata tentulah saya tak akan melepaskan peluang keemasan untuk pegang.
Perasaan bila pegang tu tak terungkap , anggapan saya mungkin kain Kaabah tu basah dek air mata dan hingusan manusia manusia yang ramai-ramai tapi tak. Rasanya kering dan bersih.
Jika difikirkan kesesakan di Mekah dan Madinah secara logiknya saya akan mengelak semampu mungkin kerana saya tak suka sesak.Saya tak ke konsert, kenduri , pesta sales atau apa apa yang melibatkan ramai orang sebab saya tak suka sesak.Ianya memenatkan termasuklah seminar yang saya hadir baru baru ini.
Tapi saya boleh tahan malah rindu pula kesesakan di Mekah dan Madinah.
Hijr Ismail
Ramai orang nak solat dalam Hijr Ismail. Ketika saya sudah habis tawaf saya beritahu emak yang mengikut saya."Emak jom solat dalam Hijr Ismail." Hati saya betul betul teringin nak pergi.Saya tak teringin sangat nak kucup Hajarul Aswad tapi saya betul betul nak solat dalam Hijr Ismail.
Jika saya seorang diri saya mungkin just do it tapi emak saya mengikut rapat dan emak saya memang tanak berpisah dengan saya.Dia takut sesat.
Emak membalas,"Kalau tak ramai takperlah , kalau ramai tak payahlah." Gitu balas emak.Memang ramai orang bersesak di Hijr Ismail tapi entah saya teringin betul betul nak solat kat dalam sebab banyak kali tawaf tapi tak pernah berusaha nak solat dalam Hijr Ismail.
Saya sedikit kecil hati sebab emak macam halai balai jer.Kadang-kadang saya tegur juga bila saya dapati dia berkelakuan lebih takut sesat dari takut nak buat ibadah.Saya kalau boleh nak buat semua dan sehabis hati tapi dia macam rilex-rilex ja.Mungkin saya berhabis hati sebab sudah susah payah nak keluarkan duit dan pengurusan semua jadi bila dapat peluang tentulah saya nak buat all out.
Tapi saya perasaan bukan emak saya seorang yang begitu.Kebanyakan orang begitu, itu yang menyebabkan sesak sebab semua tak tenang sebab takut ditinggalkan group , takut sesat... TAKUT dan TAKUT dan TAKUT YANG TAK BERKESUDAHAN. Jika terlampau takut, ibadah kita ke mana?
Kita datang atas jemputan Allah tapi kita takut dengan perkara-perkara begini lebih daripada kita takut Allah.Padahal kita dalam jemputan Allah ini, di dalam rumah Allah ni.Sepatutnya tak perlu takut pun sebab tentunya Tuan Rumah akan jaga kita.Itu yang membuatkan orang rempuh jer orang lain as long dia tak terpisah dengah group dia.Selalunya ketakutan macam ini boleh diatasi dengan persediaan yang cukup seperti memastikan
Saya betul betul rasa kecewa bila emak cakap macam tu.Saya terus cakap dekat emak.
"Emak , orang lain bersesak-sesak nak dapat peluang solat dalam Hijr Ismail.Kita dah sampai sini tau, depan mata kita jer ni, boleh ke kita lepaskan peluang ni? Cuba emak fikir kalau kita ini tuan rumah.
Kita jemput orang datang kenduri kita dan kita sediakan pelbagai makanan dan segalanya terbaik untuk tetamu kita tapi tetamu kita buat halai balai saja.Ohh .. takper la kami tak makan pun takper.Ohh apa yang ada kita makan lah. Cuba mak bayangkan perasaan mak sebagai tuan rumah bila dengar tetamu kita cakap macam tu sedang kita expect tetamu kita seronok dan excited? Dan sekarang tuan rumah ini adalah Allah. Kalau mak nak buat apa apa, mak doa dan buat saja jangan fikir tak boleh atau apa buat dulu.Kalau Allah nak bagi Dia bagi dan siapa boleh bagi kalau Dia tak bagi."
Saya mula membebel lebih kurang ayat di atas.Saya yakin emak saya tak boleh tangkap semua ayat saya pun sebab sesak dan pendengarannya kurang baik.Allah sahaja tahu yang saya pun rasa bersalah sebab membebel begitu.
Tapi saya yakin emak saya dapat rasakan saya sangat kecewa.Emak diam dan terus ubah fikiran mungkin dia faham perasaan saya.Jadi dalam keadaan sesak begitu dia ada kalanya mengheret saya dalam kesesakan.Saya sendiri tak tahu tenaga dia datang dari mana.Kami tidak berebut tapi kami rasa kami ditolak untuk masuk ke dalam.
Alhamdulillah kami boleh solat bukan sahaja dua rakaat tapi lebih.Malah kami susah pulak nak keluar.Ketika hendak pegang Kaabah ada wanita menyuruh dan menarik emak pegang di sini.Malah ketika saya cuma letak dua telapak tangan ada orang yang mengosongkan ruang dan menyuruh saya letak dahi di kawasan itu.
Emak mungkin sudah faham malah dia gembira.Seronok dia bercerita, mungkin sekarang ini dia bercerita dekat orang lain betapa nikmatnya bila kita rasa benda tu mustahil tapi semua tu 'kacang' saja bagi Allah. Malah bila balik bilik , dia bercerita dan menyuruh saya bawa adik saya ke dalam Hijr Ismail. Alhamdulillah.
Comments
Post a Comment