Umrah 2018 Bahagian 4 : Abah

***Disclaimer****
Sebelum anda membaca tulisan saya mengenai pengalaman saya tentang umrah, saya ingin menyatakan tulisan saya ini ada ekslusif mengenai pengalaman saya.Saya berasa sangat susah untuk menulis kerana tak kiralah sedalam mana saya menulis ianya tidak sama dengan pengalaman yang saya alami.Dan bukan semua perkara boleh saya tulis di sini kerana bukan semuanya senang untuk diceritakan dan saya ni mungkin lupa on certain details. Jadi bacalah dengan hati yang terbuka dan ambil yang baik baik sahaja.
****************

Abah 

Muatan banyak

Abah adalah character yang degil, panas baran dan keras kepala.Sama macam saya.Jika dia marah dengan saya, saya akan bagitau emak - "beritahu dia yang perangai saya sama macam dia." Habis cerita.

Bila saya decide untuk membawa kedua-dua ibu bapa saya dalam hati saya saya bulatkan untuk redha.Betul-betul tawakkal. Sebab saya tahu abah saya akan membuatkan saya marah dan saya tak mahu marah di tanah suci.

Bila orang lain semua nak tukar duit RM1000 atau seribu lebih, abah saya hanya nak tuka RM500. Kalau tukar RM1000 akan dapat kurang dari seribu riyal maka kalau tukar RM500?  Ohh FYI, duit simpanan dia lebih banyak dari saya malah lebih dari kami semua tau. 

Orang lain semua dah tukar tapi dia masih lagi berkira-kira. Akhirnya saya cuma cakap dengan emak,"suruh dia tukar sendiri. dekat KLIA pun boleh mana mana pun boleh."

Ajaibnya lepas tu terus dia bagi duit RM550 untuk saya tukar.Saya selalunya akan topup riyal lebih untuk semua orang.Cuma sekarang saya bertambah faham karakter dia.Dia susah nak percaya orang termasuk emak.Jadi nasihat orang lain saya bolehkan katakan masuk kiri keluar kanan.Jadi biarkan dia, nak nasihatkan boleh tapi jangan terasa kalau dia tak dengar.Anggap jer dia suka mencuba. Malah jika diperhatikan hidup dia adalah sejenis bila terhantuk baru terngadah atau dalam ayat positif adalah belajar dari pengalaman.

Semua orang bawak barang secukupnya untuk ke Mekah malah dialah orang yang menasihatkan orang lain supaya bawa barang sedikit sahaja mungkin kerana dia fikir kami ni perempuan so typical lah baginya perempuan bawak barang banyak.

Tapi end up dia yang bawa paling banyak.Malah boleh tertinggal satu beg lagi.Kiranya dua beg yang Andalusia bagi tu tak cukup, ditambah lagi pula.Adik saya telefon waktu mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur ,"Along kita kena audit balik beg abah ni.Melampau banyak sangat ni."

Ye,bila dia bawak barang banyak kebarangkalian nak tinggal pun banyak - dia dah tertinggal satu beg kat rumah membuatkan mereka semua terpaksa berpatah balik. Dah siap patah balik - tertinggal pula tali pinggang ihram padahal tali pinggang tulah benda pertama dia beli.Terpaksa masuk beli tali pinggang kat Siti Khadijah di KL ni.*geleng kepala*

Lagi pula bawak barang banyak, yang tukang angkut sepanjang di Mekah nanti agak-agak siapa ya? *geleng kepala banyak kali sikit*

Adik saya lah tukang mengemas semula dan mengeluarkan barang barang yang terlebih.Saya cuma jadi penasihat saja sebab tak berani nak sentuh.

Bawak ubatan macam nak jual balik dekat farmasi kat Mekah tu
Bawa baju macam dia nak pakai kat masjid kat rumah ni 
Selipar pun berpasang-pasang takut hilang.Lebih takpa boleh sedekah.
Kalau boleh dia nak bawak satu bilik dia tu ke Mekah.

Adik saya limitkan kepada dua beg Andalusia sahaja. Bila kami di tanah suci mula lah abah saya menyesal.

"Patut tak bawak barang banyak.Nanti next time pesanlah betul betul supaya tak bawak barang banyak."Eh, eh still lagi nak salahkan orang lain tu.

Kami masing masing angkat kening sebab dah berapa kali pesan kan jangan bawak barang banyak, orang lain happy bershopping bagai dia terpaksa berkira-kira.

Sesat

Mungkin jika abah mahu menulis, mungkin tema cerita sepanjang di Mekah dan Madinah adalah sesat. Pada pendapat saya punca utama adalah degil dan tak ikut arahan. Emak saya takde masalah sesat pun malah walaupun kami terpisah sekali takdelah sesat.Secara logik akal, jika kita tahu kita ini pelupa dan tempat baru maka kita akan lebih mematuhi nasihat dan ambil jaga berjaga.Tapi logik itu tak diapply oleh abah saya yang adventurous ni.

Tapi mungkin saya dah setkan kat hati supaya tak risau maka saya tak risau.Sebab kalau emak saya yang sesat mungkin saya risau sebab emak memang berwaspada, ikut arahan semua tapi kalau abah saya tak  risau sebab itu pilihan dia.

Saya banyak kali berpesan pada emak dan adik."Tak payah risau sebab dia takde pasport pun so takkan keluar dari tanah suci ni.Lagi pun ini kan rumah Allah, takkan Allah nak biar kan saja." Saya cuma concern bila kat KLIA dan airport sebab cerita akan jadi panjang kalau dia hilang kat situ.

Memang bila dia balik bilik ceritanya adalah sesat. Balik dengan teksi, kena pau dengan driver teksi.Baguslah kan pengalaman tu.

Sehingga satu malam saya pulang dengan emak lebih kurang pukul 10 begitu, saya dapati adik saya sudah lembik menangis.Dia cakap abah hilang. Dia dah cari satu masjid tak jumpa.

Saya pesan kat dia jangan risau tapi adik saya cakap dia pesan kat abah suruh tunggu dekat tiang King Fahd.Abah dahlah tak makan lagi takut dia menunggu adik saya sampai sudah.

Maka saya tekad untuk keluar ke masjid seorang diri malam tu.Kesian dekat adik sebab dia sudah lembik.Saya tak bawa emak sebab takut emak penat dan melambatkan process mencari.

Saya berpusing mencari tiang King Fahd dan scan semua orang tapi saya tak dapat locate abah saya.Maka saya berniat untuk tawaf sunat tujuh kali.Saya pergi ambil wudhu dan saat saya menghampiri Kaabah saya nampak abah saya duduk bersama orang lain dalam saf.Dia nampak macam termenung jauh.

Saya sentuh bahu dia dan saya tanya,"Abah buat apa ni?"

"Abah tunggu isha."

Saya terdiam, dalam hati saya rasa sebak.Abah saya dah tua sebenarnya walaupun dia grumpy."Abah, isha dah lama lepas bah."

"Oh, tak palah abah dah solat."

Saya sendiri keliru dengan jawapan abah tapi saya tanak buang masa nak berdebat bagai.Saya pegang bahu abah saya pesan."Abah tunggu sini tau, Along kena tawaf tujuh kali.Lepas ni kita balik.Jangan ke mana-mana." Saya tak sedap hati nak balik tanpa pergi tawaf sebab saya dah ada wudhuk dan sudah berniat semasa mencari abah.

Maka saya bertawaflah tujuh kali.Dalam masa tawaf tu saya nampak pula pasukan pencuci mencuci bahagian depan Kaabah.Allah sahaja yang tau khusyuk saya bercampur baur takut abah berpindah tempat lain yang tempat saya tak jumpa.Sebaik saya nak keluar dari pusingan ke tujuh saya berdoa,"Ya Allah izinkan saya bawa balik abah saya."

Elok saya keluar saya nampak abah saya duduk tempat lain.Saya suruh abah saya jalan depan sebab senang saya nak tengok dia.Sesekali dia menoleh ke belakang, saya cuma cakap kat dia ,"takper Along kat belakang abah."

Sesekali dia nak belok arah salah, saya cakap,"Abah straight bah, jalan straight."

Sepanjang jalan langsung dia tak bercakap, dia ikut saja.Kut kut nak tanya pasal adik saya , langsung tak.Saya mesej adik saya suruh dia tunggu di dewan makan dan bila sampai hotel saya terus hantar abah ke dewan makan.

Pernah satu ketika saya di lobi menghantar dobi tiba-tiba ada jemaah tunjuk ,"eh tu abah awak, takper ke dia keluar."

Saya cuma reply ,"takpa , dia tak boleh duduk diam dalam bilik.biarlah dia keluar." Saya pun tak tahu kenapa saya tak risau langsung.Rasanya satu bas pun dah tahu tapi mujurlah mereka ni sangat penyabar.

Di Madinah pula, dia sesat sampaikan naik kereta polis.Silapnya keluar tak bagitahu, keluar pulak tak pakai tag.Lepas tu menonong keluar tanpa lihat nama hotel.Bila disoal nak ke mana, dia bagitahu MovenPick - which is salah satu landmark.Makanya masuk MovenPick , ketuk bilik keluar orang lain.

Mujurlah Andalusia adalah travel agent yang terkenal, terus pegawai dihubungi. Waktu pagi buta pintu bilik kami diketuk dan dia masuk sambil bercerita kes sesat.Kami dah tak risau sebab dah tau inshaaAllah dia tak ke mana.

Tapi di sebalik kejadian-kejadian sesat yang berlaku saya perasan dia mula mendengar kata.Especially bila satu masa tu mutawif mula bagi nasihat.Malah dia mula memandang tinggi dekat mutawif yang kecil itu sebab mula-mula saya risau dengan mutawif kami yang kecil tu.Boleh kah dia handle orang tua yang pelbagai ni tapi semuanya berjalan lancar.
Realitinya kami lagi cantik tapi dalam gambar humph..
Lagi pun tak kuasa saya nak sikit-sikit ambil gambar kat sana.

Jadi mungkin pengembaraan kali ini, abah saya mempunyai cerita yang lebih menarik sebab dia sesat.

Selipar hilang


Selipar siapa? Abah saya lah. Dalam banyak selipar, selipar dia yang paling mahal pula yang hilang.

Saat bercerita adik saya berkata, "Ja dah pesan kat abah suruh bawak masuk dalam masjid tapi dia takmau."

Hilang selipar kat Mekah rasanya bukan sebab orang curi.Saya tak rasa orang curi sebab kalau nak ikut nak mencuri terlampau banyak selipar nak dicuri kut. 

Selipar yang ditinggalkan selalunya akan diangkut oleh tukang cuci sebab banyak orang tertinggal selipar jadi semak kut.Berjuta orang masuk dalam masjid, kalau tak dibersihkan silap haribulan kalau tak dibuang boleh jadi berjuta juga selipar kat masjid tu.

Tu tak termasuk bila orang mencari-mencari selipar sendiri mereka akan alihkan selipar orang lain.Lagi pula anda belum tentu ingat dekat pintu mana yang anda tinggal selipar anda.Anda masuk pintu 90 keluar mungkin pintu 80.

Saya cuma cakap,"takpelah - kan dah bawak banyak selipar dan sudah pasang niat sedekah."

Tawakal 

Bila saya fikirkan semula pengalaman saya dan abah saya mewakili manusia yang saya hadapi dalam realiti. Dalam hidup kita, kita memandang manusia serba tak kena. Ada kawan-kawan yang bersikap sombong dengan kita, ada yang tak mahu bercakap dan pelbagai feel lagi.

Dan kita merasakan dunia kita terhenti disebabkan mereka yang kita fikirkan bermasalah ini.Kita merasakan mereka punca utama hidup kita bermasalah dan kita sedaya upaya membuat segalanya dengan harapan mereka berubah.

Sedang apa yang mereka pilih dalam hidup tidak bersangkut paut dengan kita.Mereka nak jadi sombong, degil atau apa sahaja adalah itu pilihan mereka.Mereka ada hidup mereka sendiri yang mereka terpaksa lalui sendiri.Mungkin cara mereka memilih untuk menjalani hidup mereka tak sama dengan kita, tapi itu pilihan mereka. Kita pula yang memilih untuk bersusah hati sedang kita tahu kita sudah berusaha semampu mungkin.Kita terlupa yang mengubah hati manusia itu Allah.

Kita boleh jadi anak yang terbaik tapi belum tentu ibu bapa kita jadi yang terbaik seperti mana yang kita harapkan.Sama seperti kawan-kawan, suami atau adik beradik, majikan atau sesiapa sahaja.

Kita asyik sibuk memikirkan yang ibu bapa kita sepatutnya begini begini dan bertanya pada Allah,"kenapa mereka tak berubah sedang saya ini anak yang baik?"

Kita lupa nak letak konsep tawakal.Kita lupa yang ibu bapa yang Allah berikan kat kita itu adalah terbaik untuk kita.Untuk kita dapatkan syurganya kita perlu bersyukur, bersabar dan bertawakal dengan pemberianNya.

Nabi Ibrahim menjadi nabi tanpa perlu mempunyai bapa yang beriman.
Asiah dijanjikan syurga walaupun dia isteri Firaun.

Dia memberi kita mungkin rasanya macam racun tapi itulah sumber kita ke syurga.

Ya Allah, jadikan aku ini anak yang solehah.Amin.


Comments

Popular Posts